Monday, August 13, 2012

Kisah Nabi khidir a.s dan Nabi Musa a.s : Bersabar & bersangka baik kpd Allah s.w.t

Surah Al-Kahfi.

Surah yang di dalamnya terdapat beberapa cerita akan ummat sebelum kita. Di dalanya terdapat kisah Ashabul Kahfi, yakni pemuda-pemuda yang tertidur di dalam gua selama 300 tahun lebih kerana hendak menyelamatkan keimanan mereka. Wujud juga kisah Dzulqarnain. Dan terdapat pula kisah pengembaraan Musa bersama hamba Allah SWT bernama Khidr AS.

Artikel ini akan memfokuskan kepada perjalanan Nabi Musa AS dan Khidr AS. Mengekstrak hikmah dan motivasi daripada perjalanan mereka. Melihat mengapa Allah SWT menceritakan kisah mereka kepada kita. Mengapa Allah SWT menyusunkan kisahnya sedemikian rupa. Moga-moga ianya menjadi motivasi buat kita.
Sepintas kisah Musa dan Khidr.
Perjalanan Nabi Musa AS dan Khidr AS mempunyai tiga perhentian, tiga titik yang amat penting. Tiga tindakan Khidr, yang membuatkan perjalanan mereka terganggu dengan pertanyaan-pertanyaan Musa AS. Berikut adalah tindakan-tindakannya.


1 – Khidr membocorkan perahu milik seorang miskin, yang digunakan oleh mereka berdua untuk merentas sungai.
Lalu berjalanlah keduanya(Khidr dan Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia(Khidr) membocorkannya.” Surah Al-Kahfi ayat 71.
2 – Khidr membunuh seorang anak kecil.
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.” Surah Al-Kahfi 74.

3 – Khidr menegakkan sebuah dinding yang hampir roboh.

kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka dia(Khidr) menegakkan dinding itu.” Surah Al-Kahfi ayat 77.


Dalam setiap peristiwa ini, Musa AS telah mengemukakan pertanyaan, walaupun telah berjanji untuk tidak melakukan perkara tersebut. Akhirnya, selepas kali ketiga Musa AS bertanya, Khidr AS pun berhenti, dan menceritakan hikmah-hikmah mengapa Khidr melakukan semua itu. Dan semua itu terdapat di dalam Al-Quran pada ayat 79-82 Surah Al-Kahfi. Dibocorkan perahu, kerana hendak menyelamatkan perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu-perahu yang baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua ibu bapanya. Dibina semula dinding, kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk melindungi harta mereka, agar nanti kala mereka dewasa, mereka akan mendapatkannya.

Semua ini bukanlah fokus utama artikel saya.

Apa Tujuan Utama Allah SWT Menceritakan Ini?

Saya ketika masih belajar di University of Yarmouk, guru Aqidah saya, Dr Ala’ Hilat yang mengajar akan kisah ini, bertanya kepada kelas:

“Apakah tujuan utama Allah SWT apabila Dia menceritakan kita kisah ini?”
Seorang pelajar menjawab – “Kebijaksanaan Khidr?” Dr Ala’ menggeleng. “Tetapi bagus kamu utarakan jawapan itu.”
Seorang pelajar menjawab – “Bagaimana Allah memberikan pengajaran kepada Musa?”
Dr Ala’ menggeleng. “Musa telah mati.”
Kelas diam ketika itu dan saya juga diam kerana tidak pasti hendak menjawab apa.
“Apakah benar Khidr itu bijaksana? Atau sebenarnya dia tidak mempunyai ilmu langsung?” Dr Ala’ menimbulkan persoalan. Memecahkan kesunyian. Saya macam agak terkejut dengan apa yang dinyatakan Dr Ala’ itu, dan begitu juga seluruh isi kelas. Dr Ala’ nak kata Khidr bukan bijaksana? Tak berilmu? Macam agak mustahil bukan?
Tetapi saya lihat senyuman Dr Ala’ ketika itu, menjadikan Saya yakin bahawa dia percaya kata-katanya benar.
“Tahukah apa yang pertama sekali Allah sebut apabila memperkenalkan Khidr ini?”
Kami diam tidak menjawab. Dr Ala’ pun membacakan satu potong ayat. Ayat pertama ketika Allah memperkenalkan Khidr kepada pembaca Al-Quran.
Lalu mereka bertemu dengan seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.” Surah Al-Kahfi ayat 65.
“Khidr sebenarnya, bukan bijaksana. Sebab ilmu Khidr bukanlah ilmu yang dicarinya sendiri. Bukan berdasarkan pengalaman. Bukan berdasarkan pemikiran. Khidr tidak berfikir. Dia hanya ‘bergerak’ berdasarkan apa yang telah ‘ditetap’kan. Sebab ilmu Khidr hakikatnya adalah ilmu Allah SWT secara langsung. Sebab itu Allah menyebut – dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami. Ilmu itu adalah yang kita kenali sebagai Ilmu Ladunni. Ilmu yang datang terus daripada Allah SWT. Atau pendek kata, Ilmu Allah itu sendiri. Yang tak terjangkau dek manusia.”
Ketika ini mata aku terbuka. Itu point pertama, dari tiga point yang belum disebut.
“Maka, segala keputusan Khidr di dalam peristiwa ini, bukanlah keputusan dia. Bukan terhasil dari pemikirannya. Bahkan sebenarnya, itu bukan keputusan seorang Khidr pun. Tetapi hakikatnya adalah keputusan Allah SWT. Lihat sendiri apa kata Khidr di akhir perjalanannya dengan Musa.”
Dan Dr Ala’ membaca: dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.” Surah Al-Kahfi ayat 82.
“Apa yang Khidr lakukan itu, hakikatnya bukan tindakan dia. Khidr hanyalah ibarat robot yang diprogramkan Allah SWT untuk melakukan itu dan ini. Sebab itu, apakah kamu pernah mendengar riwayat sohih akan kewujudan manusia seperti Khidr ini di zaman-zaman lain? Dia hanya wujud untuk Musa dalam perjalanan ini, dan tidak diketahui wujud baik sebelum itu mahupun selepas itu.
Saya macam agak tersentak. Itu point kedua dari tiga. Rasa teruja juga dengan penyampaian ini. Ilmu baru masa itu. Memang seronok.
“Dan dengan kisah Khidr ini, Allah hendak mendidik kita untuk bersabar dengan keputusan-keputusanNya. Sebab itu, isu perjalanan Khidr dengan Musa, hakikatnya adalah isu BERSABAR DENGAN KEPUTUSAN ALLAH SWT. Tidakkah kamu melihat, apakah perjanjian utama mereka di dalam perjalanan ini?”
Musa berkata kepada lelaki itu (Khidr): Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Dia (Khidr) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” Ayat 66-70 Surah Al-Kahfi.
Dan lengkaplah tiga point yang ditinggalkan di awal cerita tadi.
Itulah dia rupanya pengajarannya!

Keputusan Allah, dan bersangka baik kepadaNya.
Dr Ala’ memberitahu bahawa, kisah Khidr dan Musa adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT dalam membuat keputusan.
“Apa-apa musibah yang melanda itu, hakikatnya baik untuk kita.” Itu point yang paling penting yang diberikan Dr Ala’ kepada kami ketika itu.
Kisah Khidr adalah buktinya. Apabila semua yang dilakukan itu, hakikatnya mempunyai sebab. Tuan punya perahu, perahunya tidak lagi dirampas kerana bocor. Dan bocor itu boleh dibaiki dan dia masih boleh berniaga dengan perahunya lagi. Ibu bapa yang kehilangan anak, keimanan mereka terselamat, dan mereka takkan dicampak ke neraka Allah nanti. Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya sampai mereka dewasa nanti.
Ada perkara itu, Allah berikan yang pahit dahulu. Perahu bocor, anak mati. Ada perkara, Allah berikan terus-terus nampak baik. Bina dinding yang hampir roboh. Tetapi kesimpulannya, semua itu akan menghala kepada kebaikan.
“Pokoknya, kita perlu bersabar, dan bersangka baik dengan keputusan Allah SWT. Tidakkah kita belajar bahawa, manusia yang tidak mampu bersabar, adalah manusia yang rugi?”
Kami tersentak sekali lagi. Eh? Kita belajar daripada mana?
“Lihatlah Musa, bagaimana dengan ketidak sabarannya, dia terpaksa berhenti dari mengikuti Khidr, sedangkan kalau dia bersabar, mungkin lebih banyak lagi hikmah yang akan dibukakan kepadanya.” Dr Ala’ tersenyum. Kami akhirnya memahami.
“Orang-orang yang bersabar, dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, mereka takkan terganggu dengan musibah-musibah yang melanda mereka. Kerana mereka tahu, Allah SWT hanya mahukan yang baik-baik sahaja.”
Penutup: “Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu.”
Dr Ala’ kemudian berkata:
“Ilmu Allah itu, memang takkan terjangka oleh kita. Apa kata kita letakkan sepenuhnya kepercayaan kita, kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui Segala-galanya itu?”
Itulah pointnya dinyatakan jenis ilmu Khidr. Ilmu Ladunni. Bukan Ilmu manusia. Tetapi Ilmu Ilahi. Tak sama ilmu manusia, dengan ilmu Ilahi.
Musa telah tiada. Tetapi kisah itu kekal hingga ke hari ini. Sebab pengajaran di dalam kisah itu, hakikatnya untuk kita. Maka perhatikanlah. Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu. Kalau kita melihat ini sekadar tarikhi(sejarah), kamu takkan sampai kepada apa yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.”
Begitulah juga sebabnya mengapa saya kongsikan penyampaian ini kepada kita semua.
Saya mahu kita memahami bahawa Allah SWT itu aturanNya, semuanya adalah baik.
Maka janganlah kecewa, dan jangan berputus asa.
Bersabar itu tiada rugi. Dan dalam bersabar itu, teruskanlah usaha lagi.
Kita tidak tahu apa yang Allah susun pada kita.
Tetapi kita mesti tahu, bahawa Allah SWT hanya susunkan yang baik-baik sahaja buat kita!
Bersangka baiklah kepada Allah SWT, dan bersabarlah!
Di dalam Al-Kahfi, Tuhan kita mendidik!
sumber : 
https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/posts/482398108444908 http://zamanpenantian.blogspot.com/2010/11/kisah-nabi-khidir-as.html

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi melawati blog ini dan memberikan komen..
Mudah2an Allah merahmati kita.. Allah humma Amin!