Monday, May 23, 2011

AL-QUR'AN PENAWAR KEGELISAHAN JIWA



SETIAP insan pasti mahukan kesenangan, kesejahteraan, kenikmatan dan keselesaan. Tidak ada sesiapa yang mahu hidupnya dipenuhi kesusahan, kesengsaraan dan diselubungi masalah berpanjangan.

Kadangkala atas sebab tertentu seseorang itu mengalami bermacam masalah penyakit jiwa seperti tekanan perasaan, runsing, resah gelisah dan lebih parah lagi boleh menyebabkan seseorang tidak dapat membuat pertimbangan dengan betul.

Sebenarnya apabila kita merujuk kepada al-Quran, memang dijelaskan sebab penyakit itu berlaku antaranya seseorang itu tidak dapat menerima ujian Allah.

Contoh, apabila seseorang itu diberikan ujian oleh Allah sama ada berbentuk kesusahan, bala bencana seperti banjir, kemarau, kebakaran, kemiskinan, kematian atau penyakit, maka jiwanya akan mula gelisah dan berkeluh kesah.

Begitu juga apabila Allah mengurniakan nikmat berupa kekayaan kepadanya, maka timbul sikap bakhil atau kedekut dalam dirinya untuk menolong orang yang memerlukan bantuan.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’arij, ayat 19-23)

Tekanan perasaan juga berlaku disebabkan seseorang itu tidak mengingati Allah, kurang menghayati dan melaksanakan ajaran agama. Mereka lebih mementingkan tuntutan hawa nafsu semata-mata tanpa mempedulikan keperluan rohaniah.

Mereka lebih suka berhibur dan melupakan amal salih yang menjurus kepada takwa seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Maka tidak mustahil insan sebegini akan mudah mengalami penyakit jiwa atau tekanan perasaan.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit (resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya) dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta (meraba-raba dalam kesesatan seperti keadaannya di dunia).”
(Surah Thaha, ayat 124)

Amat mendukacitakan pada masa ini ada kalangan umat Islam mengabaikan pendidikan al-Quran, tidak mengikut petunjuk dan bimbingan al-Quran dalam urusan kehidupan mereka, apatah lagi menggunakannya sebagai penawar mengubati penyakit jiwa yang mereka alami.

Ada antara kita cuba menyelesaikan masalah dengan cara bertentangan syarak seperti berjudi, meminum arak dan mengambil dadah. Bahkan ada menjadikan orang lain sebagai tempat melepaskan geram seperti melakukan penderaan terhadap isteri atau anak, memukul atau membunuh orang dan berkemungkinan juga bertindak membunuh diri sendiri.

Semua itu dilakukan kerana mereka beranggapan dengan cara begitu saja permasalahan mereka dapat diatasi. Hakikatnya, perlakuan sebegitu hanya akan menambahkan lagi kekusutan jiwa atau tekanan perasaan.

Sesungguhnya, bagi memperoleh suasana hidup aman damai, sejahtera, harmoni dan tenang jiwa, agama Islam menggariskan panduan yang sangat berkesan untuk merawat penyakit jiwa atau tekanan perasaan, antaranya:

1.  SENTIASA BERZIKIR (MENGINGATI ALLAH).

Allah berfirman yang bermaksud:
“…(Allah) memberi petunjuk ke jalan agama-Nya, sesiapa yang rujuk kepada-Nya; (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah al-Ra’d, ayat 27-28)

2.  MELAKSANAKAN SEGALA PERINTAH ALLAH DENGAN MENGERJAKAN SURUHAN DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGAN-NYA.

Firman Allah yang bermaksud:
“Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya) serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami memberikan kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil daripada berbuat kebajikan dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan (neraka).”
(Surah al-Lail, ayat 5-10)

3.  MENYUCIKAN JIWA DENGAN MENJAUHI DARIPADA SEGALA SIFAT MAZMUMAH (SIFAT YANG TERCELA) SEPERTI HASAD DENGKI, FITNAH, TAKBUR (MENYOMBONG DIRI), RIAK, MENGUMPAT DAN TERLALU CINTAKAN DUNIA.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih itu – susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.”
(Surah al-Syam, ayat 9-10)

Sesungguhnya kekuatan iman berperanan sebagai benteng dalam mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini. Oleh itu, dengan kembali kepada ajaran agama dan mengamalkannya jiwa manusia akan terselamat daripada kegelisahan dan kekusutan.

Jangan disebabkan terlalu sibuk mengejar kesenangan dan kemewahan dunia mengakibatkan kita lupa kepada agama. Sesungguhnya Allah memberikan jaminan bahawa manusia yang ikhlas melaksanakan segala ajaran-Nya akan mempunyai hati dan jiwa yang tenteram.

Sama-samalah berdoa semoga Allah sentiasa memberikan kepada kita kehidupan aman, tenteram dan jiwa yang tenang.


Sumber: Carian google